Doa Kesyukuran sempena Puja Usia DYTM




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman






BERAKAS, Selasa, 30 Jun. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri di Jabatan JPM yang Ke-43 Tahun di Masjid Ash-Shaliheen, di sini.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan bacaan surah Yaa Siin serta Doa Khas sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik yang ke-43 tahun.


Hadir selaku jemputan-jemputan khas pada majlis berkenaan ialah Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.


Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan daripada JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Majlis Doa Kesyukuran berkenaan adalah sebagai tanda merafakkan syukur dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar melimpahkan kurnia kesihatan, panjang umur dan kesejahteraan Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia dan juga kerabat diraja yang lain.


Close